Saya ditunjukkan rakan, sebuah posting di Facebook. Marah benar nampaknya, individu yang membuat posting tersebut. Padahal ceritanya ringkas sahaja. Lelaki tersebut, diminta beredar dari katil isterinya kerana waktu melawat sudah tamat. Bukannya kita tak mahu bagi. Tetapi kita mengambilkira keselesaan ibu-ibu mengandung yang lain di katil-katil berhampiran juga. Sekali, dua kali, jururawat tersebut menegur, tetapi dia tidak endah. Sehinggalah kali ketiga, jururawat memanggil bantuan pengawal keselamatan, barulah dia mahu berganjak.


Gambar Hiasan dari Google imej
Posting tersebut mendapat ratusan like dalam masa beberapa minit sahaja. Viral. Maki hamun membanjiri ruangan komen. Gambar jururawat tersebut yang diambil secara senyap-senyap, digantikan wajahnya dengan wajah makhluk Allah yang tidak sepatutnya. Kononnya "menjaga aib". Disambut sorak tawa belasan pengkomen lain.

"Kasi tunjuk je muka dia, baru dia tahu!"

"Orang makan gaji buta macam ni, tak payah censor la muka dia!"

Selama ini saya hanya membaca sahaja kisah pesakit/keluarga mengaibkan hospital/staf perubatan. Tetapi kali ini, apabila ia benar-benar berlaku kepada hospital tempat saya bertugas sendiri, agak rasa terkilan di hati. Lebih-lebih lagi, staf yang diaibkan tersebut, saya kenal secara peribadi. Banyak mengajar saya ketika saya mula-mula bekerja di sana. Menunjukkan saya di mana letaknya peralatan, membantu saya ketika menjalankan prosedur. Bukan tidak pernah, saya bekerja bersama-samanya, di syif malam. Meninggalkan anak-anaknya yang masih kecil, untuk berkhidmat menjaga pesakit-pesakit di hospital.

"Engkau kan selalu menulis di FB. Apa pendapat kau, dengan orang ni yang buat post macam ni kat Kak _____ tu?"

Soal rakan saya, tatkala saya masih merenung skrin telefonnya. Sambil timbul rasa panas di hati.

"Dia tak tahu, tangan orang yang beliau panggil BABI itulah, yang akan menyambut kelahiran anaknya. Misi yang dia panggil BABI inilah yang akan menjaga isterinya sepanjang perjuangan melahirkan anak sulungnya. Dia tak sedar, bahawa ketika dia memanggil staf dengan kata keji sedemikian, ketika itu Allah sedang memandangnya. Allah mendengar, penghinaannya yang dia hamburkan. Dan di saat getir anaknya mahu dilahirkan, mudah sahaja Allah mewariskan sikap biadap, mulut keji yang dimiliki oleh sang ayah, turun ke zuriat yang sedang ingin dilahirkan."

Rakan saya tersebut, sekadar mengangguk. Mungkin dia sendiri dapat merasakan kemarahan dalam nada saya.

"Kalau betul pun kak _____ ada tersilap cakap terkasar bahasa, dia berhak ditegur. Tetapi bukan diaibkan sebegini. Diambil gambar, digantikan muka dengan binatang, diviralkan, dijadikan bahan hinaan dan cercaan orang ramai. Itu dah melampau. Saluran aduan sentiasa ada." saya menambah lagi.

Sebagai seorang yang bekerja di hospital. Juga pernah dimasukkan ke wad di hospital. Juga pernah ahli keluarga saya dimasukkan ke wad di hospital. Saya dapati ada satu "rahsia", kunci kepada bagaimana hendak membawa diri, ketika berada di hospital. Jika anda ada kenal sesiapa yang bekerja di hospital, tanyalah mereka, "betul ke?" Nescaya mereka akan terus bersetuju, tanpa khilaf.

Apa rahsia itu?

"Permudahkanlah urusan orang lain, nescaya Allah akan mempermudahkan urusan anda."

Hospital, adalah tempat yang sangat dekat dengan Allah. Pesakit-pesakitnya, sedang diuji, dan orang yang sedang diuji ini sangat dekat dengan Allah. Bisikan mereka, didengari Allah. Rintihan mereka, penderitaan mereka. Allah Maha Mendengar! Itu yang tiap kali saya bisikkan sepanjang saya setiap hari berulang alik melakukan rutin yang sama - datang berkhidmat kepada orang yang sakit di hospital. Apabila ada pesakit yang sudah sihat dan boleh discaj, adakalanya saya minta mereka mendoakan saya. Kerana Allah memakbulkan doa mereka dengan memberi kesembuhan, dan saya mahu menumpang mustajabnya doa mereka itu.

Kerana itulah, pada pemerhatian saya, Allah sangat-sangat mempermudahkan urusan hambaNya yang banyak berdoa ketika sakit. Ada seorang pesakit yang saya kenal, yang tidak pernah mengabaikan solat sepanjang berada di wad. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan beliau. Merawat beliau, sangat mudah. Allah menjadikan beliau respons dengan baik dan cepat terhadap setiap rawatan yang kami berikan. (https://www.facebook.com/syamirulah/posts/4724470110884)

Dan, mungkin kerana itu jugalah, saya sering perasan - pesakit atau keluarga yang banyak songeh, yang biadap, yang tidak bekerjasama dengan baik, sering sangat ditakdirkan Allah mendapat komplikasi atau kesukaran bagi kami untuk merawatnya. Saya tidaklah mengatakan ianya fakta atau mempunyai bukti-bukti statistik dsb. Tapi ini agaknya apa yang orang selalu kata, magnet diri, law of attraction, positive negative energy, golden rule of life etc.

Allah Maha Mendengar setiap tutur kata seorang pesakit atau ahli keluarga kepada orang yang sakit. Sama ada yang baiknya. Atau yang buruknya. Atau yang doanya. Atau yang biadapnya.

Dan mudah sekali untuk Allah, "bayar cash" melalui cara yang tidak disangka-sangka.

Dan sungguh, lelaki biadap tadi, isterinya mengalami komplikasi dan terpaksa dibedah Cesarian, dan anaknya pula mengalami komplikasi dan dimasukkan ke NICU.

Sumber: Mohd Syamirulah Rahim

Post a Comment

 
Top