MUKAH: Satu kemalangan kecil berlaku membabitkan pesawat khas membawa Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Lapangan Terbang Mukah, di sini kira-kira jam 5 petang tadi.

Ketika kejadian, pesawat jenis Challenger itu baru sahaja mendarat dan sedang bergerak ke bangunan terminal sebelum sayap kirinya melanggar bahagian muncung pesawat Twin Otter milik MASWings.

Berikutan kejadian itu, komponen lampu pada hujung sayap kiri pesawat peribadi itu pecah, manakala muncung pesawat Twin Otter terbabit mengalami kerosakan kecil.

Sumber memberitahu BH, ketika kejadian, Abdul Taib bersama isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dalam perjalanan untuk menghadiri majlis berbuka puasa di sebuah masjid di sini.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, Tun Abdul Taib (Mahmud) dan isteri berada dalam pesawat khas terbabit ketika kejadian, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

"Malah, beliau tetap menghadiri program yang diatur petang tadi, selain beberapa acara sampingan lain sempena lawatannya ke Mukah,"

katanya. Katanya, punca kejadian sedang disiasat dan kedua-dua pesawat tidak dibenarkan beroperasi sementara menunggu pasukan teknikal tiba dari Kuching untuk pemeriksaan.

"Tun Abdul Taib (Mahmud) dijadualkan berlepas pulang ke Kuching menggunakan sebuah lagi pesawat milik Hornbill Skyways kira-kira jam 9.30 pagi esok seperti dijadualkan," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/66686

Post a Comment

 
Top